Drama Cik Lang Swe

Cik Lang Swe

Saksikan drama seram komedi Cik Lang Swe bermula 26 Oktober ini 2 episod setiap Khamis di Tonton. Strim melalui aplikasi Tonton atau layari www.tonton.com.my

Cik Lang Swe

Episod: 10
Tarikh Tayangan: 26 Oktober 2023
Penulis Skrip: Afmy, Mariana Hashim
Pengarah: Aidilfitri Mohamed Yunos
Produksi: Tsar Asia Sdn Bhd

Lagu Tema (OST)
Metafor - Harissa Adlynn

Watak Pelakon
Dini Schatzmann sebagai Cik Lang Swe
Harissa Adlynn Halim sebagai Ponti Su
Ezzrin Loy sebagai Ponti Dol
Amy Nur Tinie sebagai Seri Ponti Wang
Safwan Nazri sebagai Poco
Ayunie sebagai Mak Lang
Jazmy Juma sebagai Hafiz
Sarah Monika sebagai Ponti Nana
Emerlia Feronika sebagai Lang Gigi
Phirdaus Khardini sebagai Pak Yo

Sinopsis Cik Langswe

Cik Lang Swe (Dini Shatzmann) merupakan satu-satunya pewaris lelaki bagi Puak Langsuir di Kampung Temu Jodoh. Puak Langsuir ini dianggap sebagai puak yang paling lemah dalam kalangan puak hantu yang lain.

Lang Swe yang ingin menjalani kehidupan normal sering dibuli kerana sifatnya yang baik hati serta bersopan santun. Ia sememangnya bertentangan dengan keperibadian yang wajar bagi spesis hantu. Namun, semangat Lang Swe tidak pernah pudar kerana dia mempunyai impian untuk meninggalkan kampung bagi mengejar cita-citanya untuk menjadi pelakon popular.

Pada suatu hari, Ratu bagi segala hantu bagi puak Pontianak, Seri Ponti Wang (Amy Nur Tinie), telah memberi kejutan kepada rakyatnya dengan mengumumkan persaraannya. Keputusannya itu dibuat atas sebab ingin memberi tumpuan terhadap kerjaya baharunya sebagai pempengaruh di media sosial.

Lalu, Ponti Wang telah mengisytiharkan bahawa takhta untuk memerintah semua hantu kini menanti pemerintah baharu. Namun, pemerintah baharu itu hanya boleh dipilih daripada pemenang acara berprestij hantu iaitu Olympictu.

Peraturannya begitu mudah. Hantu yang paling banyak mengumpul jeritan manusia akan dinobatkan sebagai pemenang dan akan memegang takhta pemerintah Kampung Temu Jodoh yang baharu.

Setelah berabad-abad kekal kalah, puak Langsuir berharap untuk menuntut semula takhta yang telah dirampas daripada mereka. Mak Lang percaya bahawa hanya Lang Swe sahaja yang boleh memenangi Olympictu.

Lang Swe yang dilanda rasa panik telah cuba melarikan diri dengan bantuan daripada rakannya, Poco. Namun, dirinya sering ditemui. Akhirnya, Lang Swe terpaksa menjalani latihan. Antara aktiviti yang perlu dilakukannya termasuk memanjat pokok, berlatih gelak tawa yang menyeramkan dan pelbagai perkara lagi yang menyumbang kepada imej yang menakutkan.

Pada masa yang sama, Lang Swe telah jatuh hati terhadap waris Pontianak, PontiSu (Harissa Adlynn). Walaupun kedua-dua ibu bapa mereka tidak merestui hubungan yang terjalin, PontiSu telah bertunang dengan PontiDol (Ezzrin Loy).

PontiDol adalah pontianak yang terkuat dan merupakan musuh ketat Cik Lang Swe. Lebih memburukkan keadaan, kaum manusia dibelenggu masalah pecah masuk dan rompakan oleh manusia yang bertopengkan hantu. Topeng yang digunakan itu menyebabkan hantu yang dipersalahkan.

Cik Lang Swe bukan sahaja perlu memenangi Oplympictu. Dia juga perlu mencari pesalah yang mengganggu manusia. Selain itu, dia juga mesti memenangi hati PontiSu. Mampukah dia menjayakan semuanya?

Cik Langswe