Drama Kerasnya Takdir (TV3)

Kerasnya Takdir

Kerasnya Takdir diinspirasikan daripada novel Kerasnya Takdir, karya hebat oleh Haitun Kamarazaman dan hasil nukilan skrip oleh Nieza Nahar. Diterbitkan oleh Creative Skills Solution dan diarahkan oleh pengarah terkenal Emi Suffian, drama bersiri 28 episod ini menampilkan barisan pelakon ternama tanah air iaitu Redza Rosli, Amyra Rosli, Kartina Aziz, Rita Rudaini, Mia Nasir, Azlee Khairi, Halim Radzi dan ramai lagi.

Jangan ketinggalan untuk menonton Kerasnya Takdir menerusi slot Akasia TV3 mulai 22 April 2023, setiap hari pada pukul 7.00 malam dan strim langsung di www.tonton.com.my. 

Kerasnya Takdir

Episod: 28
Tarikh Tayangan: 22 April 2023
Waktu Siaran: Setiap Hari, 7:00 malam
Rangkaian: Akasia TV3 / tonton
Penulis Novel: Haitun Kamarazaman
Penulis Skrip: Nieza Nahar
Pengarah: Emi Suffian
Produksi: Creative Skill Solution Sdn Bhd

Watak Pelakon 
Amyra Rosli sebagai Intan Najiha
Redza Rosli sebagai Syed Munir
Dayang Fajra Nadifa sebagai Syarifah Saleha
Kartina Aziz sebagai Syarifah Aminah
Rita Rudaini sebagai Syarifah Mastura
Azrel Ismail sebagai Athif
Azlee Khairi sebagai Syed Murad
Ungku Hariz sebagai Nik Fazril
Natasya Mahyan sebagai Umairah
Badrul Mat sebagai Deli Jabar
Halim Radzi sebagai Farouk
Mia Nasir sebagai Syarifah Emilia
Husna Mustaffa sebagai Jijirah
Zarynn Min sebagai Kak Lela
Zurizalazuan sebagai Syed Ahmad Mansor
Masniza Manan sebagai Sharifah Hazirah
Jiha Sham sebagai Asma

Lagu Tema (OST)
Hadiahkan Duka Kepadamu - Aizat Amdan
Masih Ada - Yulia Kamelia & Aliff Hassan 
Posesif - Yulia Kamelia & Aliff Hassan 
Cerita Kita - Pandora

Sinopsis Kerasnya Takdir

Intan Najiha atau lebih mesra disapa sebagai Jiha (Amyra Rosli) dibesarkan secara sederhana manakala Syed Munir (Redza Rosli) dimewahkan dengan harta. Setelah kehilangan ibu bapanya, Jiha membawa diri ke Kuala Lumpur untuk berdikari dan membuka bisnes menjual lilin, ‘Jiha’s Scent’, secara kecil-kecilan di pusat membeli belah. Berbeza pula dengan kehidupan Munir yang telah dilahirkan dengan kemewahan dan menjadi harapan meneruskan legasi keluarga oleh ibunya Syarifah Aminah (Kartina Aziz). Segala perkara tentang Munir ingin diuruskan oleh ibunya, termasuk soal jodoh untuk berkahwin dengan calon menantunya, Emilia (Mia Nasir).

Apabila sebuah insiden menemukan Munir dan Jiha dan perasaan cinta mula berkembang, Munir telah memilih untuk menjadikan Jiha isterinya walaupun perkahwinan mereka tidak direstui keluarga. Namun, kehidupan sebagai suami isteri tidak seperti yang dijangka. Kehidupan Munir dan Jiha menjadi kusut selepas Munir terlibat dalam kemalangan. Jiha juga ditimpa tuduhan yang telah membuatkan keadaan mentalnya tidak stabil selepas kehilangan Munir dan anak mereka.

Selepas 6 tahun, Jiha bertemu semula dengan Munir apabila dia terjumpa dengan anaknya yang sudah lama hilang. Adakah cinta mereka akan bertaut kembali ataupun Munir sudah meneruskan kehidupannya tanpa Jiha? Dapatkah Munir dan Jiha bertahan menempuhi kerasnya takdir mereka?

Sinopsis Novel Kerasnya Takdir

Mengisahkan Jeha yang berkahwin dengan Syed Munir, anak Syarifah Aminah yang dikatakan berasal daripada golongan bangsawan di Bukit Betong. Perkahwinan mereka tidak direstui oleh Syarifah Aminah. Syarifah Mastura, kakak Syed Munir juga turut membenci Jeha kerana ‘orang yang tidak diketahui asal-usulnya’. Mereka dikurniakan seorang anak, Syarifah Saleha.

Takdir Tuhan, Syed Munir tiba-tiba lumpuh dan Jeha terpaksa bekerja. Segala-galanya kini di bawah tanggungjawab Jeha. Mencari nafkah, menguruskan suami dan anak serta hal ehwal rumah tangga.

Selain itu, Jeha mengupah Haryanto, seorang pekerja Indonesia untuk menoreh getah di kebun kecil miliknya. Hasilnya dapat juga menampung keperluan harian mereka sekeluarga.

Konflik timbul apabila majikannya, Encik Farouk yang pernah menaruh hati pada Jeha, mula menabur fitnah terhadap mereka berdua. Kemuncak konflik berlaku apabila Jeha terpisah daripada suami dan anaknya sehingga dia dikatakan telah menjadi gila.

Apakah fitnah yang tersebar dan mengapa Jeha boleh terpisah daripada suami dan anaknya? Apa pula yang terjadi kepada Haryanto, Syarifah Aminah dan Syarifah Saleha?

Kerasnya Takdir