I Can See Your Voice Malaysia Musim Ke-6

I Can See Your Voice Malaysia Musim 6 2023

I Can See Your Voice Malaysia Musim Ke-6 (ICSYVMY 6), program hiburan keluarga kini kembali menceriakan malam minggu anda seisi keluarga. Ia semakin riuh, gamat dan ceria dengan kehadiran hos seperti Izzue Islam serta Shiha Zikir, ditambahkan pula dengan celoteh penyiasat tetap seperti Ropie, Jihan Muse, Khir Rahman dan Baby Shima. Nantikan keletah mereka pada 4 Jun 2023, setiap hari Ahad, pukul 9.00 malam di TV3 atau strim langsung secara definisi tinggi di www.tonton.com.my.

Gandingan pertama antara Izzue Islam dan Shiha Zikir sebagai hos sempena ulang tahun TV3 yang ke-39 ini menampilkan Siti Sisters iaitu Siti Saidah dan Siti Sairah yang merupakan adik-beradik kepada penyanyi lagenda, Dato’ Sri Siti Nurhaliza. Di samping itu, episod pertama ICSYVMY 6 ini menampilkan Nadia Brian dan Jiggy Masin sebagai panel penyiasat jemputan.

Pelbagai gelagat dan karenah lucu panel penyiasat dapat dilihat dalam episod pertama ini kerana mereka bersungguh-sungguh memberi pandangan tersendiri kepada Siti Sisters bagi mengenal pasti siapakah penyanyi sebenar dan penyamar bersuara sumbang. Penyanyi misteri minggu ini membuatkan artis jemputan bingung untuk menyingkirkan mereka satu persatu. Namun, dapatkah Siti Sisters menyingkirkan penyamar dengan bantuan panel penyiasat?

Anda terlepas untuk menyaksikannya menerusi TV3 pada  4 Jun 2023, hari Ahad, pada pukul 9.00 malam? Jangan risau, anda boleh muat turun dan daftar sebagai pengguna Aplikasi Tonton atau tonton siaran ulangan menerusi Tonton di www.tonton.com.my