Program terbaharu TV3, Master In The House Malaysia merupakan kolaborasi antara Primeworks Studios dengan SBS Korea yang akan mula bersua dengan penonton TV3 mulai 15 Januari 2022, setiap hari Sabtu, pukul 10.00 malam. Bakal bersiaran untuk 10 episod, lima selebriti popular Malaysia iaitu Hael Husaini, Scha Elinnea, Sharifah Rose, Andi Bernadee dan Meyrasam (kumpulan CASSIA) akan berguru dengan 8 ‘Master’ disegani dari Korea dan Malaysia.
Pada setiap episod, Hael Husaini, Scha Elinnea, Sharifah Rose, Andi Bernadee dan Meyrasam akan diperkenalkan dengan seorang ‘Master’ yang disegani dalam industri yang diceburi beliau. Tanpa mengetahui siapakah ‘Master’ terlebih dahulu, mereka diberikan cabaran untuk menyiapkan tugasan-tugasan yang diamanatkan oleh Master dalam tempoh dua hari satu malam.
Master In The House Malaysia (MITH) menampilkan dua Master Korea dan enam Master Malaysia yang mempunyai kepakaran dan kredibiliti dari kepelbagaian bidang. Son Sung Deuk, koreografer yang mencipta fenomena K-Pop Idol BTS terutamanya koreografi ‘Butter’ yang sedang rancak dalam kalangan Army. Beliau merupakan pengarah HYBE Performance yang sering memenangi anugerah yang berprestij di Korea dan mula bekerjasama dengan BTS sejak kumpulan itu diperkenalkan. BamBam, K-pop Idol yang mencipta nama menerusi kumpulan Got7 sejak tahun 2014. Beliau merupakan seorang rapper, penyanyi dan penggubah lagu yang berbakat besar dan sering menghasilkan lagu-lagu yang membolosi carta-carta lagu.
Barisan Master dari Malaysia ialah Datuk Yusof Haslam, seorang penerbit, pengarah, penulis skrip dan pelakon yang berwibawa, Dato’ Sri Siti Nurhaliza, penyanyi tersohor di Malaysia, Datuk Rashid Sidek, lagenda badminton negara, Sherson Lian, cef selebriti dan hos televisyen Malaysia, dan Usamah Zaid, pengasas dan Pengarah Urusan syarikat animasi miliknya, WAU Animation dan pencipta serta pengarah siri animasi Ejen Ali.