Selepas mencuri perhatian di pentas antarabangsa dan menerima pengiktirafan menerusi lima pencalonan di Anugerah Golden Horse Ke-63, filem kerjasama Malaysia-Taiwan, SAYANG SAYANG, bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 5 November 2026.
Diterbitkan oleh More Entertainment Sdn Bhd dan IS Entertainment Co., Ltd, SAYANG SAYANG merupakan sebuah drama fiksyen yang mengangkat tema identiti, kasih sayang, keluarga dan penerimaan komuniti melalui perspektif yang jarang diketengahkan di layar perak. Filem ini diterajui pengarah dan penulis skrip Taiwan, Tang Hsiang-Chu, dengan Yeh Jufeng dan Jin Ong sebagai Penerbit Eksekutif, manakala Nicole Teoh bertindak selaku penerbit.
SAYANG SAYANG menghimpunkan pelakon daripada latar belakang yang bervariasi seperti Mhia Firdaus, Nandagopall Mohan, Sasha Tang, Amir Ahnaf, Jo Kukathas, Khir Rahman, Farah Ahmad, Lee Lee-Zen, Ong Ai Leng, Vemanna Appannah, Mia Tan Shu Man dan Tan Li Yang.
Sayang Sayang
Genre: Drama, Fiksyen, Fantasi
Tarikh Tayangan: 5 November 2026
Skrip: Tang Hsiang-Chu
Pengarah: Tang Hsiang-Chu
Terbitan: More Entertainment Sdn Bhd, IS Entertainment Co., Ltd
Watak Pelakon
Jo Kukathas sebagai Nancy
Sasha Tang sebagai San San
Mhia Firdaus sebagai Mina
Nandagopall Mohan sebagai Ajay
Ong Ai Leng sebagai Ibu San San
Lee Lee-Zen sebagai Bapa San San' / Tauke
Farah Ahmad sebagai Ibu Mina
Amir Ahnaf sebagai Aman
Vemanna Appannah sebagai Subra
Khir Rahman sebagai Hassan
Mia Tan Shu Man sebagai Mei Mei
Lagu Tema (OST)
Tajuk: Sayang
Penyanyi: Dato' Sri Sheila Majid
Komposer: Ryota Katayama
Lirik: Ryota Katayama, Sheila Majid
Sinopsis Sayang Sayang
Nancy, seorang wanita India, pulang ke kampung halamannya di Pantai Timur bersama anaknya, Ajay, seorang anak pekak, lalu membuka sebuah sekolah bahasa isyarat berasaskan keluarga. Mina, seorang gadis Melayu pekak daripada keluarga Muslim, amat meminati Muay Thai dan berusaha mencari arah hidupnya sendiri antara tuntutan tradisi dan pencarian jati diri. Sementara itu, San San, seorang gadis Cina pekak, begitu mendambakan laut, namun tetap terikat dengan kepercayaan keluarganya serta hubungan mereka dengan lautan.
Tiga anak daripada latar keluarga dan budaya yang berbeza berdepan dengan cabaran kehidupan masing-masing dalam perjalanan mengenali diri, kepercayaan dan keluarga. Di sepanjang pesisir Pantai Timur yang luas, ketiga-tiga keluarga ini perlahan-lahan membina hubungan yang mendalam melalui laut, tanah dan kasih sayang antara satu sama lain, lalu mencipta sebuah simfoni kehidupan yang menyentuh hati.

