Drama Seindah Hujan Cinta

Seindah Hujan Cinta

Nantikan drama adaptasi novel 'Seindah Hujan Cinta' karya Qash Shazwani akan ditayangkan di platform penstriman Tonton bermula 21 Julai 2025, setiap Isnin hingga Khamis. Diterbitkan oleh Country & Universal Sdn Bhd di bawah sentuhan pengarah Nizam Zakaria. Menampilkan pelakon seperti Nelydia Senrose, Yusuf Bahrin, Ezzanie Jasny, Hariz Hamdan dan ramai lagi.

Seindah Hujan Cinta

Episod: 28
Tarikh Tayangan: 21 Julai 2025
Hari Siaran: Isnin - Khamis
Platform Penstriman: Tonton
Penulis Skrip: Mufid Suhaimi Bahaudin
Pengarah: Nizam Zakaria
Produksi: Country & Universal Sdn Bhd

Watak Pelakon
Nelydia Senrose sebagai Zarita
Yusuf Bahrin sebagai Wassim 
Ezzanie Jasny sebagai Aneesa
Hariz Hamdan sebagai Zamirul
Normah Damanhuri sebagai Mak Yon
Sheila Mambo sebagai Salmah
Zulkifli Ismail sebagai Tuan Malim
Fadilah Mansor sebagai Puan Zarina
Amanda Misbun sebagai Kak Lang
Haidar Hasanudin sebagai Putra
Amanda Tan sebagai Tini
Dina Allysha sebagai Dhiya

Lagu Tema (OST)
Tajuk: Sampaikan Rindu
Penyanyi: Ippo Hafiz
Lirik & Komposer: Ippo Hafiz

Sinopsis Seindah Hujan Cinta

Mengisahkan kehidupan pasangan suami isteri, Wassim (Yusuf Bahrin) dan Zarita (Nelydia Senrose), yang telah lima tahun mendirikan rumah tangga tanpa kehadiran cahaya mata. Konflik mula tercetus apabila Zarita yang merupakan seorang pempengaruh yang sedang meniti kemuncak kerjaya, masih belum bersedia memikul tanggungjawab sebagai seorang ibu. Sementara itu, naluri seorang ayah yang ada pada Wassim semakin menghimpit dirinya, lebih-lebih lagi saat melihat rakan-rakan sebayanya hidup bahagia bersama keluarga dan anak-anak mereka.

Sebagai jalan tengah, Zarita yang tidak sanggup mengorbankan kerjayanya membuat keputusan luar jangka dengan merelakan suaminya berkahwin lagi. Lebih mengejutkan, Zarita sendiri mencadangkan adik angkatnya, Aneesa (Ezzanie Jasny), sebagai calon madu. Walaupun cadangan itu pada awalnya ditolak oleh kedua-duanya, keteguhan hati Zarita akhirnya membuat Aneesa tunduk, demi menjaga pertalian dan membalas budi yang pernah ditabur.

Namun, hidup bermadu bukan semudah yang disangka. Cemburu yang selama ini terpendam mula membakar jiwa apabila Zarita melihat sendiri kemesraan antara Aneesa dan Wassim. Ketakutan sekiranya Aneesa hamil dahulu membuatkan Zarita goyah, dia mula ingin merebut kembali kasih suaminya yang masih setia dengannya. Namun, segalanya berubah apabila satu kejutan tak terduga muncul, mampukah cinta yang telah terbelah itu disatukan semula, atau segalanya sudah terlambat?

Sinopsis Novel Seindah Hujan Cinta

“Kami dari Jabatan Agama Islam. Kami dapat aduan yang kamu berdua tinggal bersama di sini bila isteri awak tak ada. Betul?”

Walaupun Wasim sedaya upaya merahsiakan hubungannya dengan Aneesa, namun pada malam itu mereka tertangkap juga akhirnya. Mereka memang tidak bersalah dan telah difitnah! Kalau Wasim tidak merahsiakan hubungan mereka, pasti perkara memalukan seperti ini tidak akan berlaku.

“Rajin juga abang menolong kerja dapur ya! Kalau kat rumah jangankan nak tolong, kalau boleh makan pun nak bersuap.”

“Pernah ke abang suruh Nisa suapkan?”

“Memanglah tak pernah suruh Nisa. Tapi kalau dengan Kak Rita tu bukan main manja lagi.”

“Alah kalau abang suruh, Nisa bukannya nak suap pun. Garang sangat! Silap-silap, Nisa tenyeh-tenyeh mulut abang nanti.”

Aneesa memang sudah bersedia menghadapi segala kemungkinan yang akan berlaku sebaik saja dia membuat keputusan untuk berkahwin dengan Wasim. Demi kasih sayangnya terhadap Zarita, Aneesa merelakan dirinya. Walaupun ramai pihak yang menentang, namun Aneesa menyerahkan segala masa depannya bersama Wasim kepada Yang Maha Esa. Apa pun yang berlaku, dia harus menghadapinya.

“Kalau dia berkenan, abang nak bagi Nisa dekat dia?”

“Minta tolong sikit aaa... Isteri abang lawa-lawa macam ni, dia jangan nak buat pasal! Kalau dia tenung pun abang korek biji mata dia, biar buta macam Kasim Selamat.”

“Kalau macam tu Nisa tak nak pergilah, nanti tak pasal-pasal abang masuk penjara sebab korek biji mata orang.”

“Huh! Nisa ingat dia nak biar saja ke abang korek biji mata dia tu. Silap-silap abang dulu yang jadi Kassim Selamat.”

Semakin lama, cinta yang cuba dipupuk akhirnya mekar bak bunga di dalam taman. Aneesa boleh menarik nafas lega meskipun Wasim selalu lupa akan janji-janji yang telah dipatrinya.

Adakah akhirnya janji Wasim dulu untuk menjaga Aneesa dengan baik dan adil akan ditunaikannya? Atau adakah janji itu akan dilupakannya.

Seindah Hujan Cinta