
Saksikan telefilem Malam 3 Syukur terbitan Unit Drama TV RTM akan disiarkan pada 1 Syawal, pukul 9.00 malam di TV1 dan RTMKlik.
Malam 3 Syukur
Waktu Siaran: Sabtu, 21 Mac 2026, 9:00 malam
Rangkaian: TV1 / RTMKlik
Penulis Skrip: Roydy Rokidy
Pengarah: Epo Jenon
Produksi: Unit Drama TV RTM
Pelakon: Jay Iswazir, Azlan Kombos, Hafidzuddin, Sahrolnizam Noor, Datuk Hilal Azman, Wan Hanafi Su, Elizad Sharifuddin, Fazlina Ahmad Daud
Sinopsis Malam Tiga Syukur
Syukor selalu merasa tidak cukup dan tidak bersyukur dalam kehidupannya, mengabaikan isteri (Saleha) dan dua anaknya (Iman dan Cahaya) kerana mengejar sesuatu yang belum pasti menjadi rezekinya. Dia selalu merasa cemburu dengan kehidupan orang sekeliling, dan merasakan bahawa kehidupan orang lain yang dilihatnya pada mata kasar itu lebih bahagia dari kehidupannya sendiri. Sifat Qana’ah yakni merasa cukup itu tak pernah dia percaya, sehingga dia mempertikaikan takdir Tuhan mengapa hidupnya tak bahagia dan sering merasa tidak cukup.
Kun fayakun (sepertimana dalam surah Yassin ayat 82), pada malam tujuh likur ketika masing-masing selesai solat terawih, Syukor diberikan ‘peluang istimewa’ untuk hidup dalam badan tiga lelaki yang berbeza di kampungnya iaitu dalam badan Mubarak (sebagai ayah), Yassin (sebagai suami) dan Ramdan (sebagai anak). Hidup sebagai Mubarak, Syukor menjadi seorang ayah tunggal yang terpaksa bekerja siang dan malam demi menyara anak-anak yang ramai tanpa isteri. Hidup sebagai Yassin, Syukor menjadi seorang suami yang sakit, tapi dijaga dengan baik oleh isteri dan anak-anaknya. Hidup sebagai Ramdan, Syukor menjadi anak yang sangat taat dan patuh pada ibu yang demensia.
Syukor menyaksikan pula bagaimana ketiga-tiga lelaki lain itu secara bergilir mengambil tempat dirinya yang lama dan hidup bahagia di samping Saleha, Iman dan Cahaya. Ketika inilah Syukor merasakan bahawa hidupnya sebelum ini lebih beruntung berbanding tiga kawannya yang lain, dan dia mula berasa cemburu apabila orang lain yang menjadi ‘Syukor’ boleh hidup bahagia.