Nantikan drama adaptasi novel Wanita Milik Kaiden karya Nuriffa akan mula disiarkan pada 26 Disember 2024, setiap Isnin hingga Jumaat jam 7.00 malam di slot Akasia TV3 atau boleh distrim di iQIYI pada jam 8.00 malam untuk pengguna VIP dan secara percuma tersedia selepas 48 jam. Drama terbitan Cinema Stage Production ini diarahkan oleh Jamal Khan. Membariskan pelakon seperti Iedil Dzuhrie Alaudin, Emma Maembong, Shahz Jaszle, Liza Abdullah, Dayang Areeda dan Datin Sri Maria Farida.
Wanita Milik Kaiden
Episod: 25
Tarikh Tayangan: 26 Disember 2024
Waktu Siaran: Isnin - Jumaat, 7:00 malam
Rangkaian: Akasia TV3 / iQIYI
Penulis Novel: Nuriffa
Penulis Skrip: Siti Jasmina Ibrahim
Pengarah: Jamal Khan
Produksi: Cinema Stage Production
Watak Pelakon
Iedil Dzuhrie Alaudin sebagai Kaiden
Emma Maembong sebagai Haila
Shahz Jaszle sebagai Erman
Dayang Areeda sebagai Katrina
Wafariena Roslan sebagai Dilla
Rasya Dean sebagai Sarah
Maria Farida sebagai Pn Sri Atillia
Liza Abdullah sebagai Pn Kamariah
Zaidi Omar sebagai Madi
Rezza Shah sebagai Edlan
Aprena Manrose sebagai Liana
Kael sebagai Akmal
Adrina Kamaruddin sebagai Haila
Izzy Reef sebagai Kaiden
Lagu Tema (OST)
Tajuk: Lebih Baik
Penyanyi: Shiha Zikir
Komposer: Shazee Ishak, Audi Mok
Sinopsis Wanita Milik Kaiden
Kisah pertemuan yang tak diduga antara Haila (Emma Maembong) dan Erman (Shahz Jaszle), yang menjadi titik permulaan hubungan antara mereka. Namun, di sebalik pertemuan itu, Erman menyembunyikan satu rahsia besar bahawa dia sebenarnya telah bertunang dengan seorang gadis pilihan ibunya, Sarah (Rasya Dean). Demi memikat hati Haila, Erman merahsiakan status pertunangannya. Dalam masa yang sama, Kaiden (Iedil Dzuhrie Alaudin), sahabat baik Erman sejak zaman universiti, secara tidak diduga mempunyai sejarah hubungan dengan Haila. Mereka pernah menjadi rakan baik sewaktu di kampung, namun satu peristiwa hitam dalam keluarga Haila memaksa Kaiden untuk menjauhkan diri daripadanya.
Kehadiran Haila dalam hidup Erman membawa perubahan besar, namun sikap Erman yang gemar mempermainkan perasaan wanita mula mencetuskan keraguan dalam hati Kaiden. Lebih merumitkan keadaan, Sarah yang hamil mendesak Erman bertanggungjawab ke atas dirinya, sementara ibu kepada Erman, Puan Kamariah (Liza Abdullah) berusaha menyatukan mereka demi membalas jasa keluarga Sarah yang banyak membantunya menyelesaikan masalah kewangan. Haila, seorang gadis yatim piatu, pula merasakan kasih sayang dan perhatian Erman adalah anugerah yang tidak pernah dimilikinya, tanpa mengetahui konflik di sebalik hubungan mereka.
Dalam konflik ini, Kaiden menghadapi dilema kerana dia sebenarnya menaruh hati terhadap Haila sejak zaman sekolah. Situasi menjadi semakin tegang apabila Kaiden mengetahui rancangan perkahwinan Haila dan Erman. Sebagai seorang lelaki yang tahu sisi gelap Erman, Kaiden berdepan cabaran besar, sama ada untuk melindungi Haila daripada menjadi mangsa atau menerima takdir cintanya yang tidak kesampaian. Apakah tindakan yang akan dilakukan oleh Kaiden? Mampukah beliau menghentikan niat jahat Erman dan merealisasikan hasratnya yang terpendam sejak sekian lama?
Sinopsis Novel Wanita Milik Kaiden
Bagi Haila, perkahwinan itu satu ikatan yang penuh dengan ketelusan. Setahun berkahwin bukan pengukur kepada satu kesetiaan. Suaminya Erman tiba-tiba memberitahu yang lelaki itu mahu berkahwin lain. Dalam sekelip mata semua yang indah bertukar kelam.
“Abang nak kahwin lagi satu. Dengan… Katrina.” - Erman
“Kenapa? Apa kurangnya Ila sampai abang nak kahwin lain? Atau sebab Ila masih belum mengandung? Kita... kita baru kahwin setahun.” - Haila
“Ini bukan sebab Ila ada kekurangan ke apa. Bagi abang tak salah lelaki nak berpoligami. Abang mampu.” - Erman
“Ila ni jahat. Ila tamak. Tapi, Ila bukan hipokrit. Kalau betul abang nak kahwin lain sila ceraikan Ila.” - Haila
Sangkanya permintaan itu akan membuatkan Erman sedar. Namun, Haila silap. Sungguh kasih-sayang tidak mampu diukur oleh waktu. Lafaz cerai ke atas Haila adalah bukti bahawasanya sayang Erman buat Katrina melebihi sayangnya kepada Haila. Enam bulan hidup dalam kekecewaan dan air mata sedangkan Erman dan isteri baru bahagia seperti dunia ini mereka yang punya. Haila nekad. Dia perlu bangkit.
"Kaiden, saya nak minta tolong. Boleh awak bawa saya ke majlis reunion sekolah tu nanti? Dan awak menyamar jadi teman lelaki saya. Saya nak tunjuk depan Erman yang saya pun boleh bahagia.” - Haila
“Apa yang aku dapat kalau aku setuju dengan rancangan kau ni?” - Kaiden
“Saya... saya boleh jadi orang suruhan awak? Kalau nak apa-apa awak boleh arah saja.” - Haila
“Aku tak perlukan orang suruhan. Aku dah ada ramai pekerja.” - Kaiden
“Kalau macam tu saya... saya boleh jadi isteri awak.” - Haila
Masing-masing bersetuju kerana kepentingan diri sendiri. Namun, takdir membawa Haila dan Kaiden kepada satu hubungan yang sangat luar biasa. Mereka tidak saling menyintai, tetapi mereka saling memerlukan di antara satu sama lain. Perlahan putik-putik cinta mula tersemai di dalam hati.
“Ila, abang minta maaf. Abang tahu keputusan ceraikan Ila dulu adalah satu keputusan paling bodoh dalam hidup abang.” - Erman
“Dulu dia milik kau. Sekarang dia milik aku.” - Kaiden
Sekali dia cinta sampai mati dia akan pertahankan wanita itu. Adakah dugaan yang mula hadir di antara mereka bisa meruntuhkan mahligai yang baru dibina ini?