4 Episod Khas Majalah 3 Sempena Sambutan Bulan Kebangsaan Malaysia 2023

Bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini, Majalah 3 membawakan 4 episod khas secara eksklusif bermula 21 Ogos 2023, setiap hari Isnin, 9.00 malam di TV3 dan strim langsung HD di www.tonton.com.my 

Istimewa di bulan kebangsaan Malaysia, Ikuti kisah di sebalik tabir penganjuran acara bertaraf dunia iaitu Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi, LIMA’23 pada 21 Ogos, menjejak khazanah negara di samudera ataupun belantara pada 28 Ogos, mengetengahkan aneka masakan berperisa pedas dalam kuih muih dan lauk pauk yang menyatukan rakyat negara ini pada 4 September serta kisah di sebalik tabir pembinaan menara Merdeka 118 pada 11 September 2023.

Majalah 3 Lima

Tarikh siaran: 21 Ogos 2023
Acara bertaraf dunia Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi, LIMA’23 kembali menggegarkan negara selepas tergendala beberapa tahun akibat pandemik COVID-19. Ketika penggambaran, wartawan bertugas Zerry Francis dan Nor Izzati Lockman bersama kru telah diberi akses khas mendekati pelbagai pesawat dan kapal dari luar negara, serta latihan persiapan daripada pelbagai agensi penguatkuasa Malaysia. 

Majalah 3 Khazanah Negara

Tarikh siaran: 28 Ogos 2023
Majalah 3 ingin mengajak penonton untuk mengikuti kisah komitmen segelintir rakyat Malaysia menjejak khazanah berkaitan sejarah negara baik di samudera, mahupun belantara bagi menghayati nilai sejarah secara dekat.

Wartawan bertugas liputan ini Mohd Rose Abdullah dan Nur Aishah Al-Husna Ramli perlu menempuh laut dalam dan kawasan pergunungan bersama kru bagi merakam penemuan penjejak berkenaan terhadap Kapal Nichi Asu Maru, sebuah kapal Jepun yang membawa minyak pesawat yang karam ditembak British dalam perjalanan ke Sabah dan Sarawak pada 1960. Mereka juga menjejaki rangka helikopter jenis Bristol milik tentera Amerika Syarikat, yang difahamkan terhempas pada 1957 di belantara Malaysia.

Majalah 3 Kuih Muih

Tarikh siaran: 4 September 2023
Bertepatan dengan tema kempen Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia iaitu Manis Pahit Bersama, episod ini mengetengahkan tema makanan berperisa pedas dalam kuih muih dan lauk pauk yang menyatukan rakyat negara ini. Ikuti laporan wartawan bertugas Asyraf Naqiuddin Samsuri mengecapi pelbagai menu masyarakat Melayu, Cina dan India yang menyerlahkan perpaduan semua kaum ini.

Majalah 3 Menara Merdeka 118

Tarikh siaran: 11 September 2023
Majalah 3 memaparkan kisah di sebalik tabir pembinaan menara Merdeka 118 yang kini pencakar langit kedua tertinggi di dunia dan tertinggi di Asia, yang membawa nama Malaysia ke persada dunia. Wartawan bertugas Zerry Francis bersama kru telah mengambil masa setahun mengikuti proses pembinaan fasa akhir menara ini dan kemuncaknya satu kejutan akan dibuat pada 31hb Ogos.