Dapur Tempur Ra-ra

Dapur Tempur Ra-ra

Istimewa menjelang bulan Ramadan dan Raya, TV9 menyajikan program realiti masakan Dapur Tempur Ra-Ra bakal menghiburkan penonton bermula 26 Mac 2023, setiap hari Ahad, pukul 8.30 malam. Program realiti memasak bersiri 5 episod ini juga akan distrim langsung secara HD melalui Tonton di www.tonton.com.my atau di aplikasi Tonton yang boleh dimuat turun dari Google Play atau App Store.

Program realiti Dapur Tempur Ra-Ra menampilkan Yasmin Hani sebagai hos manakala cef selebriti, Dato’ Cef Ismail bersama penerbit dan pengarah terkenal, Michael Ang diangkat sebagai juri tetap.

Istimewa musim ini, setiap minggu akan mempertandingkan dua pasangan iaitu pasangan finalis Dapur Tempur musim lalu dan pasangan keluarga selebriti berlainan untuk menyediakan dua hidangan mengikut tema yang diberikan. Namun, kemahiran memasak mereka diuji dengan pelbagai cabaran menarik untuk menghangatkan lagi medan pertempuran memasak dalam Dapur Tempur Ra-Ra.

Antara cabaran yang perlu dilalui peserta adalah Simpul Kasih di mana peserta perlu memasak dalam keadaan tangan mereka diikat bersama pasangan masing-masing manakala cabaran Tiru Macam Cef memerlukan peserta menyediakan hidangan yang telah disediakan oleh Cef Ismail tanpa mengetahui resipinya. Berasaskan tema yang berkonsepkan aneka juadah makanan sahur, berbuka puasa dan hidangan raya, peserta akan dinilai dari segi rasa, kreativiti serta persembahan hidangan.

Musim terbaharu ini yang dihangatkan lagi dengan penampilan 5 pasangan keluarga selebriti terkenal tanah air yang akan bertempur dengan finalis Dapur Tempur musim pertama adalah pasangan bapa & anak “Bapak Borek Anak Rintik” (Norman Hakim & Danish Hakim), pasangan ibu & anak “Hot Chicks” (Aishah & Farahdhiya), pasangan kakak & adik  “The Sizzling Sisters” (Umie Aida & Betty Rahmad), pasangan suami & isteri “Dap Err” (Bell Ngasri & Farhana) dan pasangan ibu & anak “Double Trouble” (Nabila Huda & Keisha Laila).

Setelah berjaya menempah nama di tangga lima teratas musim yang lalu, para finalis Dapur Tempur kembali untuk berentap dan menyediakan hidangan terbaik bagi setiap minggu. 5 pasangan tersebut adalah pasangan suami isteri “Masam Manis” (Syed Abdul Muiz Syed Zulkifli, 38 & Nor Arieni Adriena Mohd Ritzal, 31), pasangan kakak & adik “Seketul Rasa” (Idziatul Shima Samarudin, 42 & Muhammad Hanis Samarudin, 32), pasangan bapa & anak saudara “Pendekar Malaya” (Irfan Hariz S Miswandi, 20 & Mohd Haizal Ismail, 47), pasangan ibu & anak “Sudap Sudip” (Halifah Jaafar, 59 & Muhammad Ariff Haron, 37), dan pasangan abang & adik “Zest” (Mohd Hafzy Mohd Yusof Senusi, 45 & Norhaiza Mohd Yusof Senusi, 36).