AME 2021 - Anugerah MeleTOP Era

AME 2021

Anugerah MeleTOP Era (AME 2021) untuk tahun kelapan bagi meraikan karya dan personaliti paling menyerlah sepanjang tahun 2020 yang merangkumi bidang muzik, radio, televisyen, filem dan digital. 

‘AME 2021’ dengan tagline ‘Yang Fresh, Yang Legend’ telah dijadualkan untuk bersiaran secara langsung pada 30 Januari 2022, jam 9.00 malam secara eksklusif di saluran Astro Ria (104) atau boleh distrim menerusi perkhidmatan Astro Go dan On Demand. 

Pengacara versatil, Nabil Ahmad dan Jihan Muse sekali lagi diberi kepercayaan untuk mengendalikan pentas ‘AME 2021’ selaku hos utama.

Format penganjuran asal ‘AME’ yang menyerahkan kuasa penuh kepada peminat untuk mengundi pemenang bagi kesemua 16 buah kategori utama masih dikekalkan. Untuk edisi 2021, sebanyak tiga buah kategori baharu bakal dipertandingkan iaitu ‘Personaliti TV MeleTOP’, ‘BBNU MeleTOP’ dan ‘Video MeleTOP’. Manakala dua buah kategori yang sedia ada pula digugurkan daripada senarai utama iaitu ‘Hos MeleTOP’ dan ‘Fesyen MeleTOP’. 

Undian fasa pertama untuk memilih calon ‘Top 5’ boleh dihantar mulai 5 Oktober 2021, jam 6.00 petang hingga 19 November 2021, jam 6.00 petang menerusi laman rasmi www.anugerahmeletopera.com.my dan aplikasi SYOK. 

16 kategori utama yang dipertandingkan adalah ‘Lagu MeleTOP ERA’, ‘Penyanyi MeleTOP ERA’, ‘Grup/Duo MeleTOP ERA’, ‘Si Cilik MeleTOP’, ‘Filem MeleTOP’, ‘Bintang Filem MeleTOP’, ‘Drama MeleTOP’, ‘Pelakon MeleTOP’, ‘Video MeleTOP’, ‘Artis Versatil MeleTOP’, ‘Personaliti TV MeleTOP’, ‘Influencer MeleTOP’, ‘Artis Baharu MeleTOP’, ‘Couple MeleTOP’, ‘BBNU MeleTOP’ dan ‘Program MeleTOP’.

Selain daripada 16 kategori tersebut, turut dipertandingkan ialah tiga kategori kemuncak yang ditentukan berdasarkan jumlah undian tertinggi di kalangan calon ‘Top 5’ untuk kesemua kategori utama iaitu ‘Top Top MeleTOP Lelaki’, ‘Top Top MeleTOP Wanita’ dan ‘Top Top MeleTOP Grup/Duo’.

Barisan penyanyi popular yang berpadu suara untuk menyanyikan lagu tema ‘Anugerah MeleTOP ERA 2021’ adalah Darmas Band, Dolla, Lil J, Syamel, Yonniboii dan Iman Troye. Lagu tersebut turut mendapat sentuhan Ezra Kong selaku komposer serta lirik nukilan oleh Ezra sendiri bersama Lil J.