Sinopsis Filem Syahadan

Syahadan

Filem Syahadan adalah sebuah filem aksi seni persilatan terbitan Trilion Marketing Sdn Bhd dengan kerjasama Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA). Filem ini diarahkan oleh Datuk Dr. Fairus Hussain dan Halim Hassan. Menampilkan pesilat negara Al-Jufferi Jamari bersama penglibatan pelakon veteran Anuar Rahman serta Bob Megat. Saksikan filem Syahadan di pawagam terpilih seluruh Malaysia bermula 17 Februari 2022.

Syahadan

Tarikh Tayangan: 17 Februari 2022
Pengarah: Datuk Dr Fairus Hussain & Halim Hassan
Produksi: Trillion Marketing Sdn Bhd
Pelakon: Jufferi Al-Jamari, Anuar Rahman, Bob Megat, Fauzi Khalid, Taqiyuddin Hamid, Sazzlan Yuga, Mohd Syafiq Ibrahim, Nashrul Edzam Asri, Muhammad Shukrillah Badrillah dan Y.Bhg Datuk Wira Hj Megat Zulkarnain.

Sinopsis Syahadan

Mengisahkan tentang seorang anak muda, Omar yang hidup tanpa arah tujuan serta diserapi unsur hedonisme. Demi mendisiplinkan Omar, bapanya menghantar Omar ke sebuah kampung bagi memperbaiki akhlak dan menjadi insan berguna kepada masyarakat melalui kaedah persilatan.

Pada awalnya, Omar seakan menentang sehinggalah pada suatu hari hatinya terbuka selepas melihat Pak Daud berjaya menumpaskan empat orang samseng yang bersenjata dalam sekelip mata sahaja menggunakan ilmu persilatan. Sepanjang sesi latihan persilatan bersama Pak Daud, Omar bukan sekadar berlatih gerak serta kekuatan, tetapi ia adalah cara hidup bagi membentuk akhlak terpuji.

Kisah silam yang disembunyikan ayah Omar, saat Omar kecil yang menjalani pembedahan menggunakan khidmat pemerdagangan organ antarabangsa di pasaran gelap mula menjemput penjenayah dalam hidupnya.

Walaupun golongan sasar filem ini adalah lebih kepada pecinta seni warisan Melayu, Syahadan optimis dapat menarik masyarakat umum ke panggung untuk berhibur bersesuaian dengan penceritaannya yang dekat dengan kehidupan masyarakat, penuh hikmah dan patuh Syariah.