Mr. Bibik

Mr Bibik

Drama adaptasi novel Mr. Bibik karya Aein Dhiyauddin akan mengisi slot Akasia TV3  bermula 29 Oktober ini, setiap Isnin hingga Jumaat jam 7 malam. Menampilkan gandingan Saharul Ridzwan dan Zara Zya. Drama 20 episod arahan Pali Yahya, terbitan Saphire Screen Sdn Bhd. Mr Bibik juga boleh ditonton di perkhidmatan penstriman iQIYI 1 jam selepas siaran tv.

JUDUL : MR. BIBIK
EPISOD : 20
TARIKH TAYANGAN : 29 Oktober 2021
WAKTU SIARAN : Isnin-Jumaat, 7:00 malam  
RANGKAIAN: Akasia TV3 / iQiyi
PENULIS NOVEL : Aein Dhiyauddin
PENULIS SKRIP : Farhana Fauri
PENGARAH : Pali Yahya
PRODUKSI : Saphire Screen Sdn Bhd

WATAK PELAKON 
Saharul Ridzwan sebagai Firas Iman
Zara Zya sebagai Aulia Izzatunnisa
Liza Abdullah sebagai Puan Salbiah 
Roy Azman sebagai Tuan Halim
Norish Karman sebagai Puan Ameena
Raja Afiq sebagai Mukhriz
Dayang Areeda sebagai Arisya 
Syazuwan Hassan sebagai Zuhairi
Balkisyh Semundur Khan sebagai Siti 
Wanns Ahmad sebagai Hud
Sefik Khair sebagai Kent 
Watie Elite sebagai Kiah 
Zazly Baginda sebagai Pak Hanif 
Jesse Lim sebagai Pak Hanif 
Meor Mohd sebagai Cumi
Aishah Atan sebagai Puan Seri Mariam 
Azhar Amir sebagai Tan Sri Mahfuz

LAGU TEMA (OST)
Cinta Jatuh - Kael
Aewo - Shiha Zikir feat Noti 
Jagakan Dia - Shiha Zikir
Manja - Farra Ahmad

SINOPSIS MR. BIBIK
Aulia dan Mukhriz bertunang kerana campur tangan orang tua. Mukhriz obses dengan Aulia dari zaman remaja walaupun semua gadis mampu dimilikinya dengan mudah. Bagi Mukhriz, Aulia amat berbeza baginya. Aulia pula langsung tidak menunjukkan minat terhadapnya sehingga Mukhriz diperlekehkan oleh kawan-kawannya.

Firas, seorang lelaki yang berperwatakan biasa sedang melalui fasa kecewa dalam hidupnya. Dia sanggup berhenti kerja dari sebuah syarikat besar untuk memulakan perniagaan dengan tunangnya, Arisya. Sayangnya, Firas dikhianati apabila Arisya telah berkahwin dengan lelaki lain. Hilang kerja dan juga putus tunang, Firas tidak hilang semangat malah dia tidak kisah untuk bekerja di syarikat pembersihan milik kenalannya.

Hari pertama Firas memulakan tugasnya, dia telah diarahkan untuk membersihkan rumah Aulia. Oleh kerana ada insiden yang kurang menyenangkan antara mereka berdua sebelum ini, Aulia mahu menolak servis Firas. Tambahan pula, Aulia tidak senang dengan lelaki yang bekerja sebagai pembantu rumah. Akhirnya Aulia terpaksa terima kerana kawannya Siti yang juga pemilik syarikat itu memberikan perkhidmatan percuma apabila tidak dapat menghantar pembantu rumah yang sudah biasa ditugaskan. 

Firas pening dengan sikap pemalas Aulia dan keadaan rumah yang bersepah. Setelah hampir seminggu bekerja di situ dan pada hari terakhir, tiba-tiba rumah Aulia didatangi Mukhriz dan ayah Aulia, Tuan Halim. Mukhriz menuduh Aulia menyimpan lelaki di rumahnya. Puas Aulia dan Firas menerangkan keadaan sebenar tetapi Tuan Halim tetap kecewa. 

Mukhriz menawarkan diri berkahwin dengan Aulia untuk menutup malu Tuan Halim. Namun, Tuan Halim mahu Firas bertanggungjawab atas perbuatannya terhadap Aulia dan mendesak Firas untuk menikahi anaknya. Tuan Halim sanggup mengugut Firas jika tidak mahu ibunya mengetahui perkara yang memalukan ini. Firas minta diberikan masa untuk membuat persediaan.

Firas tidak dapat menerima Aulia seorang yang pemalas dan pengotor untuk menjadi isterinya. Begitu juga dengan Aulia, tidak sanggup bersuamikan Mr Bibik! Mukhriz pula tidak mahu kehilangan Aulia dan tetap akan mencari jalan untuk merampas Aulia balik! Apakah yang akan berlaku seterusnya?

Episod 1
Aulia membaca nama dan membandingkan gambar yang tentera dengan lelaki itu. Sama serupa. Dia kerutkan dahi. Tidak pernah dia tahu ada lelaki yang bekerja sebagai pembantu rumah di syarikat itu. Aulia mengamuk pada kawannya Siti yang merupakan pemilik Cuci Bersih Service kerana tidak menghantar pembantu yg sudah biasa ditugaskan membersihkan rumahnya. Kerana tawaran yang dibuat Siti, akhirnya Aulia bersetuju. Perkhidmatan percuma! Firas dihantar dan memulakan tugasnya membersih kondo milik Aulia namun di dalam hati Firas, dia membebel dengan sikap pemalas Aulia.. Bersepah baju-bajunya dari atas lantai ruang tamu hingga ke lantai dapur. Ala-ala pakai buang. Baru hari pertama Firas bekerja dirumah Aulia, mereka bagaikan anjing dengan kucing. Aulia memarahi Firas yang cuba mengemas hampir keseluruhan yang ada di dalam rumahnya termasuk pakaian Aulia. Bukan itu sahaja, semua barang-barang Aulia yg dia simpan dalam kotak dibawa keluar oleh Firas. Firas susun cantik-cantik semua koleksi bag tangan, make up dan baju yang masih terperosok dalam kotak di bilik Aulia. Lebih mengharukan, dengan selamba Firas buang kotak-kotak jenama bag tangan nya dalam tong sampah. Dengan alasan, anak tikus dah buat rumah dalam kotak handbag Aulia. Bagi Firas, dia telah dipertanggungjawabkan untuk menyelesaikan tugasnya dengan baik. 

Episod 2
Pertunangan diantara Aulia dan Mukhriz sudah terjalin hampir 2 tahun namun Aulia masih tidak dapat menerima Mukhriz sebagai tunangnya. Bagi Aulia pertunangan diantara dia Mukhriz langsung tidak pernah diterimanya. Pertunangan mereka kerana campur tangan orang tua. Ayah Mukhriz, Tuan Mahfuz menekan Tuan Halim untuk memaksa dia bertunang dengan lelaki itu kerana Tuan Mahfuz pernah menyelamatkannya dari bebanan hutang. Namun begitu, hutang tersebut telah lama dilangsaikan oleh Tuan Halim sendiri. Mukhriz seorang lelaki yang obses terhadap Aulia sejak dari zaman remaja lagi. Semua gadis mampu dia miliki dengan mudah tapi berbeza dengan Aulia. Aulia langsung tidak menunjukkan minat terhadapnya sehingga Mukhriz diperlekehkan oleh kawan-kawannya. Pernah Aulia menjalinkan hubungan cinta dengan rakan sekolahnya, namun hubungan itu berakhir dengan kejam. Mukhriz telah menganiaya pelajar itu sehingga dia dibuang sekolah.

Episod 3
Aulia terkejut. Serta merta mukanya pucat lesi melihat kehadiran Mukhriz dan ayahnya disitu. Dia memandang Firas yang juga terkejut. Mukhriz bersungguh meyakinkan Tuan Halim mengenai Aulia yg telah membawa lelaki lain masuk kedalam rumah. Mukhriz telah menuduh Aulia menyimpan anak ikan. Puas Firas dan Aulia menerangkan keadaan yang sebenar namun riak wajah Tuan Halim yang nampak kecewa membuatkan Mukhriz tersengih-sengih gembira. Akhirnya dia akan menikahi gadis pujaannya dan tidak sia-sia dia menghantar orang mengintip tunangnya sendiri. Mukhriz lega, Tuan Halim percaya cerita rekaannya. 

Episod 4
Aulia bergaduh dengan Firas dan menyangkakan Firas boleh kaya cepat jika menjadi menantu Tuan Halim. Bagi Firas, dia sendiri langsung tidak berminat untuk berkahwin dengan perempuan pemalas dan manja seperti Aulia. Dia bersetuju hanya kerana kesiankan Aulia. Aulia bakal dibuang kerja dan dibuang keluarga jika melanggar arahan ayahnya. Aulia terkejut. Dia tidak menyangka perhitungan itu yang dibuat oleh Tuan Halim kepada Firas. Berkahwin dengan Mukhriz memang dia mahu elak tetapi bukanlah dengan memilih seorang pembantu rumah lelaki sebagai suami. Dalam diam, Aulia terpaksa akui dia tidak boleh membantah arahan ayahnya.

Episod 5
Mukhriz cuba membawa Aulia pergi namun Firas segera menghalang. Dia cuba berdiplomasi dengan Mukhriz supaya Mukhriz bertenang. Tuan Halim arahkan Mukhriz untuk pulang sebelum dia menghubungi keluarganya. Mendengar ugutan Tuan Halim, akhirnya Mukhriz akur. Namun dia sempat berbisik pada Firas. Apa pun terjadi, dia tak akan melepaskan Aulia. Firas dapat lihat Mukhriz yg terlalu sayangkan Aulia. Tapi Firas pelik mengapa Aulia seakan trauma melihat lelaki itu. Apa sebenarnya yang terjadi antara mereka berdua?

Episod 6
Tuan Halim telah berjumpa Firas. Dia minta Firas rahsiakan apa yg berlaku pada isterinya kerana dia tidak mahu kesihatan isterinya terjejas. Firas terpaksa akur dengan permintaan Tuan Halim. Mujurlah Pn. Ameena seorang ibu mertua yang baik dan lemah lembut. Tidak sampai hatinya dia melihat wanita itu jatuh sakit apabila mengetahui hal yang sebenar. Firas maklumkan tentang permintaan ibunya yang mahu dia membawa Aulia ke kampung. Mulanya Aulia menolak namun Tuan Halim dan Pn. Ameena marahkan Aulia yang melawan cakap suami. Aulia tak ada pilihan. Dia terpaksa mengikut Firas pulang ke kampung selama seminggu. Dalam perjalanan ke kampung, Aulia macam biasa, minta Firas sediakan bilik asing untuk dia. Tapi Firas marah. Firas tak nak mak dia sedih dengan keadaan tu. Akhirnya Aulia mengalah. Dia cakap dia nak Firas tidur bawah dan dia tidur atas katil. Firas layankan je asalkan Pn. Salbiah tak tahu. 

Episod 7
Arisya terkejut apabila Zuhairi bagitahu tentang pernikahan Firas dan Aulia adalah kerana ditangkap basah. Arisya seperti tidak percaya semudah itu Firas bersetuju namun dihati kecilnya dia yakin, Firas berbuat demikian kerana mahu melupakan kisah mereka. Arisya rasa bersalah dan menyesal atas apa yang telah berlaku terhadap Firas, namun semuanya sudah terlambat. Tidak mungkin Zuhairi akan melepaskan dia dengan mudah tambahan dia sedang hamilkan anak Zuhairi. Aulia akhirnya mengetahui lebih lanjut kisah Arisya setelah dia bertanya pada Firas. Aulia dapat lihat Firas cuba berlawan dengan kekecewaan hatinya selama ini. Aulia mula bersimpati dengan Firas.

Episod 8
Kaki Aulia tercedera sedikit. Firas bersungguh-sungguh merawat Aulia. Aulia terkesan dengan layanan Firas terhadapnya. Perlahan, Aulia bertanya pada Firas. Betul ke apa yang Firas katakan pada Arisya tempoh hari? Firas sekadar mengangguk. Dia anggap saat dia bersetuju menikahi Aulia, bermaksud. Dia telah berjanji untuk bertanggungjawab terhadap kata-kata dan perbuatannya. Dia akan melindungi Aulia.

Episod 9
Aulia termalu dengan apa yang dilakukannya malam tadi. Bibirnya terkunci rapat. Firas ingatkan Aulia tentang apa yang dilakukan oleh Zuhairi. Aulia turut terkejut. Lebih memalukan Aulia bila Firas ingin mengucapkan terima kasih kepada Zuhairi kerana insiden tersebut, bahtera yang selama ini belum bersedia berlayar akhirnya telah bersedia dengan jayanya. Aulia menjerit malu.. Firas berbisik ditelinga Aulia bahawa Aulia kini sepenuhnya sudah menjadi milik dia. Entah kenapa, hati Aulia mula berbunga dengan kata-kata tersebut. Dia yakin, Firas adalah lelaki yang layak untuk memilikinya. Hubungan Firas dan Aulia mula pulih. Mereka seperti pasangan yang baru bercinta.

Episod 10
Sepanjang Firas berkerja dirumah Arisya, Firas langsung tidak bercakap dengan Arisya. Arisya bagitahu tentang rancangan Zuhairi pada Firas. Firas terkejut namun dia sekadar mengucapkan terima kasih. Zuhairi tiba-tiba pulang. Sebaik Firas beredar, Arisya telah dipukul teruk oleh Zuhairi kerana dia telah mendengar apa yang Arisya katakan pada Firas. Arisya minta Zuhairi ceraikan dia tapi Zuhairi tak mahu. Bagi Zuhairi dia akan ceraikan Arisya selepas dia dapat apa yang dia nak. Arisya hidup dalam deritanya sendiri. Zuhairi telah pergi berjumpa Aulia dan ceritakan tentang Firas yang sengaja datang ke rumahnya untuk berjumpa Arisya. Zuhairi yakin Firas dan Arisya sudah terlanjur ketika Zuhairi tiada. Aulia terkedu.

Mr BibikMr BibikMr Bibik