Oh My English! Level Up

Oh My English Level Up

Rancangan sitkom edutainment Oh My English! Level Up akan ditayangkan pada setiap hari Ahad mulai 1 Oktober 2017, jam 6.30 petang di Astro TVIQ (saluran 610) dan Astro Maya HD (saluran 135). Oh My English yang memasuki musim keenam ini membawakan beberapa barisan pelajar dan beberapa orang guru baharu.

Watak utama guru baharu iaitu Mr. James Blond lakonan Mark O’Dea dilantik sebagai guru Bahasa Inggeris untuk kelas 3 Merah. Beliau mempunyai perwatakan yang berbeza dengan guru Bahasa Inggeris pada musim sudah iaitu Mr. Middleton lakonan Zain Saidin. Mr. James Blond seorang yang kelam kabut dan bersahaja. Pada masa yang sama, beliau cuba untuk menawan hati para pelajar namun niat beliau sering disalah anggap dan mengundang padah pada diri sendiri. 

Watak guru-guru lain seperti Cikgu Lakshmi lakonan Sangeetha Krishnasamy sebagai guru Drama, Puan Hajar (Adibah Noor) sebagai Pengetua sekolah, Encik Yusof (Tauke Raja Lawak) sebagai Penolong Pengetua, Miss Soo (Carmen Soo) dan Cikgu Bedah (Sherry Al-Hadad) sebagai guru Matematik.

Kemunculan semula Zack lakonan Juzzthin, bekas pelajar sekolah tersebut, kembali sebagai guru sandaran. Jojie lakonan Nadiya Nisaa, kembali ke sekolah sebagai Cikgu Jojie yang mengajar subjek Pendidikan Jasmani (PE). See Yew Soon lakonan Roax Tan juga kembali membuat penampilan istimewa dengan membawa watak sebagai abang salah seorang pelajar baharu, See Mi Nau.

Barisan pelajar kelas 3 Merah pula ialah Ronaldo (Fimie Don) seorang Ketua Kelas yang sentiasa mahukan kelas 3 Merah menjadi kelas terbaik di SMK Ayer Dalam, Danial (Harris Alif), seorang pelajar macho yang bercita-cita untuk menjadi pemain muzik, Sam (Timothy Deeran) seorang pemain permainan video tegar yang pendiam, Amelia (Yuna Rahim) seorang pelajar bijak tetapi sering gagal dalam peperiksaan dengan sengaja, Mawar (Nur Shahidah Abdullah) seorang yang suka berniaga dan menjadikan selebriti-selebriti berjaya sebagai idola beliau, Fiona (Qistina Enara) seorang pelajar ceria yang sentiasa bersungguh-sungguh membuktikan kebijaksanaan beliau kepada rakan, See Mi Nau (Chen Su Ee) adik perempuan kepada See Yew Soon, serta Wan Yunus (Izzy Reef), pelajar berasal dari Kelantan yang mempunyai keyakinan diri yang rendah dan sering bercakap dalam Bahasa Inggeris dengan loghat Kelantan yang mencuit hati.