Kasut Untuk Ayah (TV1)

Kasut Untuk Ayah

RTM akan menyiarkan telefilem khas bagi meraikan meraikan sambutan Hari Bapa berjudul Kasut Untuk Ayah. Dibintangi oleh Namron, Afiq Muiz, Man Raja Lawak, Fikhree Bakar, Tasha Shila. Akan disiarkan pada Sabtu, 10 Jun, pukul 10.05 malam mengisi slot Panggung Seri di TV1. Juga boleh ditonton secara online menerusi portal online dMyklik (myklik.rtm.gov.my)

JUDUL : KASUT UNTUK AYAH 
TARIKH / MASA : Sabtu, 10 Jun 2017, 10.05 malam
SIARAN : Slot Panggung Seri (TV1-RTM)
PENGARAH : Amzari
TERBITAN : Wayang Tinggi Produksi Sdn Bhd
PELAKON : Nam Ron, Afiq Muiz, Tasha Shilla, Man Raja Lawak, Fikhree Bakar

SINOPSIS KASUT UNTUK AYAH 
Mengisahkan Pak Karim seorang penjual herba di Pekan Hari. Selama berpuluh tahun, dia mencari sendiri tumbuh-tumbuhan dan herba di dalam hutan di belakang rumahnya, khususnya, daun keladi tikus. Pak Karim amat berminat dengan tumbuhan ini kerana ia sejenis tumbuhan yang mujarab bagi mengubati beberapa penyakit kronik, terutamanya, kanser.

Pak Karim mempunyai seorang anak perempuan, Sakinah pelajar tahun akhir jurusan Sains Bioperubatan daripada sebuah universiti. Sakinah bercita-cita menjadi seorang saintis dan dia sedang berkawan rapat dengan teman sekuliahnya iaitu Shafik dan merancang untuk berkahwin.

Pak Karim mempunyai tabiat yang pelik iaitu tidak pernah berkasut dan dia selesa keluar masuk hutan tanpa berkasut. Tapak kakinya sudah kematu dan ini menimbulkan kerisauan pada Sakinah.

Menjelang Sakinah untuk berkahwin, dia mahu ayahnya berkasut agar dilihat normal. Sakinah berusaha untuk memujuk dan belikan kasut untuk Pak Karim tetapi seringkali ditolak. Kali ini Sakinah berusaha untuk memujuk Pak Karim memakai kasut ke rumah Shafik kerana mereka dijemput oleh keluarga Shafik untuk berkenalan. Pak Karim enggan pada mulanya tapi memikirkan masa depan anak perempuannya, akhirnya Pak Karim beralah.

Akhirnya Sakinah dapat jawapan yang ayahnya tidak berkasut sejak ibunya meninggal ketika membeli kasut untuk dihadiahkan pada hari jadi bapanya. Ketika berkunjung ke rumah keluarga Shafik, barulah Sakinah tahu kematian ibunya dahulu akibat kemalangan langgar lari disebabkan Shafik. Pak Karim telah bertindak mahu memutuskan perhubungan Sakinah dengan Shafik.

Shafik berusaha untuk meminta maaf pada Pak Karim dan Sakinah. Shafik benar-benar rasa bersalah tetapi Pak Karim tidak bersedia untuk memaafkan Shafik.

Di masa yang sama ayah Shafik meminta Pak Karim menyediakan ekstrak daun Keladi Tikus yang dikatakan mampu mengurangkan penyakit kanser ibu Shafik. Pak Karim sanggup sediakan ekstrak keladi tikus untuk ibu Shafik tetapi masih tidak bersedia untuk memaafkan dan menerima Shafik sebagai menantunya.

Ketika Pak Karim cedera di hutan, Shafik telah bersusah payah menyelamatkan Pak Karim. Pak Karim tersentuh hati dengan kesungguhan Shafik seorang diri menyelamatkannya. Baru sekarang Pak Karim sedar bahawa selama ini dia terlalu mengikut emosinya. Pak Karim sedar yang dia perlu redha dan menerima hakikat tentang tragedi yang menimpa arwah isterinya.