Temasya Sukan Ke Laut

Temasya Sukan Ke Laut

Sempena temasya Sukan SEA 2017 yang akan berlangsung di Malaysia pada bulan Ogos ini, Astro memperkenalkan program terbaharu, ‘Temasya Sukan Ke Laut’ yang menggabungkan elemen sukan, komedi dan hiburan. Program ini bakal menyaksikan atlet-atlet terkemuka negara berkumpul menjayakan sebuah program komedi dan bersaing dengan barisan pelawak serta selebriti popular tanah air menerusi pelbagai jenis acara sukan utama yang akan dipertandingkan dalam temasya Sukan Sea seperti badminton, bola sepak, acara renang, berbasikal, balapan, hoki dan banyak lagi. 

Peserta akan dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu kumpulan ‘Cendawan Gagah’ yang akan mewakili barisan atlet dan kumpulan ‘Kembang Semangkuk’ yang bakal disertai oleh para atlet, pelawak dan selebriti. Setiap episod akan menampilkan pemain jemputan yang terdiri dari barisan pelawak dan atlet seperti Mat Redho / Mohd Redha Rozlan (Pemenang Fear Factor 2014 dan ‘Ninja Warrior’), Zulfahmi Khairuddin (Pelumba FIM Superbike World Championship 2016-WSBK), Khairulnizam Afendy (pelayar terbaik Asia), Amer Raja Lawak dan ramai lagi.

Barisan atlet lain yang terlibat dalam program ‘Temasya Sukan Ke Laut’ ini ialah Mirnawan Nawawi (bekas Ketua Pasukan Hoki Negara), Keifli Othman (bekas Juara Formula Asia), adik beradik Hafiz dan Roslin Hashim (bekas Jaguh Badminton Negara), Watson Nyambek (bekas Juara Pecut Dunia), Azman Adnan (bekas Pemain Bolasepak Negara) Niena Azman (bekas Penjaga Gol Kebangsaan) dan Azizulhasni Awang (Juara Dunia Acara Keirin)

Selebriti yang turut menyerikan program ini seperti Amy Search, Joey, Achey, Shuib, Dzawin, Sharifah Shahirah, Kumpulan Zero, Jiggy dan ramai lagi. Bekas jaguh bina badan negara, Datuk Malek Nor yang akan bergandingan bersama pelawak popular, Abam Bocey sebagai pengacara dan pengulas sukan. 

Program 'Temasya Sukan Ke Laut’ yang akan bersiaran selama lapan minggu pada setiap hari Jumaat mulai 14 Julai 2017 pada jam 10.00 malam di saluran Astro Warna (132) dan saluran serentak di Warna HD (saluran 124). Ia juga akan turut disiarkan di Astro Arena 802 HD & 801, Astro GO dan on demand untuk tontonan semua.